
Laporan/ foto: Abassalimi Mohamad/Muhammad Fariq Kamaruddin (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Medan, di sini menerima manfaat hasil pelaksanaan Kampung Angkat MADANI apabila sebuah wakaf yang dibina di sekolah tersebut siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah.

Pengetua SMK Seri Medan menandatangani Surat Serah Kerja sambil disaksikan oleh wakil dari Jabatan Penerangan Malaysia
Wakaf tersebut merupakan antara projek pembangunan di bawah seliaan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang memberi kemudahan kepada warga sekolah, khususnya pelajar.
Pengetuanya Masrom Rahmat berkata pembinaan wakaf itu amat bermakna kerana ia menyediakan ruang tambahan untuk pelajar berehat serta mengulang kaji pelajaran selain di kelas dan perpustakaan.
“Wakaf ini memberi nilai tambah kepada persekitaran sekolah dan pastinya membawa manfaat kepada pelajar. Kami berterima kasih kepada JAPEN kerana memilih sekolah ini sebagai sebahagian daripada Program Kampung Angkat MADANI,” katanya pada Majlis Serah Kerja dan Inden Kerja kepada kontraktor di sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Pembinaan wakaf ini akan menyediakan ruang tambahan untuk pelajar berehat serta mengulang kaji pelajaran selain di kelas dan perpustakaan
Projek pembinaan wakaf yang bermula pada 24 Oktober lepas itu berjaya disiapkan mengikut jadual, meskipun berdepan beberapa kekangan.
Pengurus Syarikat Fahrurazi Enterprise Fahrurazi Sarimin berkata kerja-kerja pembinaan tetap dapat dilaksanakan mengikut perancangan walaupun berhadapan cuaca hujan, sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kekangan laluan akibat kerja menurap jalan di kawasan sekolah.
“Dengan komitmen semua pihak, projek ini dapat disiapkan seperti ditetapkan dan hasilnya dapat memberi nilai estetika baharu kepada landskap sekolah,” katanya.
Turut hadir, wakil JAPEN Bani Muhammad Nasrullah Baniyamin dan Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat Musliha Yusof.
-AA-






