
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Penantian penduduk Taman Selayang Baru akhirnya terlerai apabila kemudahan komuniti yang menyediakan ruang selamat dan kondusif untuk beriadah kini siap.
Sebanyak RM199,000 dibelanjakan bagi merealisasikan projek kemudahan komuniti berkenaan yang merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki, peralatan senaman, pagar, pondok serta pemasangan tiga lampu solar di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata projek berkenaan dilaksanakan hasil permintaan penduduk setempat yang telah lama menantikan kemudahan awam untuk kegunaan bersama, termasuk sebagai ruang berkumpul dan beriadah.

(Dua dari kanan) William, Anfaal Dan pegawai Majlis Perbandaran Selayang ketika Turun meninjau projek kemudahan awam di Taman Selayang Baru hari ini.
Menurutnya, kemudahan tersebut kini sudah siap sepenuhnya dan sedia digunakan oleh penduduk.
“Ini adalah antara projek untuk rakyat yang memberi manfaat terus kepada komuniti setempat,” katanya ketika ditemui semasa turun padang meninjau projek berkenaan hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari.
Anfaal berkata kawasan itu merupakan kawasan matang yang dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, orang dewasa dan kanak-kanak, justeru perancangan dibuat agar semua golongan dapat memanfaatkan ruang berkenaan.
Mengulas mengenai permintaan pembinaan Dewan Komuniti, beliau memaklumkan perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam tempoh terdekat.
“Keperluan membina dewan komuniti itu sememangnya merupakan kehendak penduduk setempat dan pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan perancangan serta aktiviti yang bakal dilaksanakan kelak,” jelasnya.
-RI





