Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Perintis Dasar Komprehensif Pemberdayaan OKU

By 21 Disember 2025Disember 22nd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 21 Dis (MalaysiaAktif) – Selangor muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang menerbitkan pelbagai dokumen dasar dan melaksanakan program komprehensif bagi memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata usaha memperkasa OKU di negeri itu merupakan kesinambungan komitmen jangka panjang kerajaan negeri sejak pentadbiran terdahulu, termasuk penubuhan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) pada 2018.

Anfaal dan tetamu jemputan bersama ibu bapa serta kanak-kanak OKU semasa merasmikan Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Selayang, semalam.

Menurutnya, pelbagai inisiatif berjaya digerakkan melalui MTOS, antaranya pelancaran Program Inklusif Inovasi MTOS 2026 (MTOS-SIP 2026) yang memberi fokus kepada inovasi dasar serta penyediaan platform pitching idea kepada NGO, akademik dan konsultan bidang OKU.

Beliau berkata sambutan Hari OKU Sedunia 2025 bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu seruan tindakan global untuk memastikan hak OKU terus diperkasa dan dihormati.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menegaskan bahawa OKU bukan objek kebajikan, tetapi subjek hak termasuk hak hidup bermaruah, peluang adil dan penyertaan bermakna dalam pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Fakulti Perubatan UiTM Cawangan Kampus Selayang, di sini semalam.

Anfaal berkata Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tidak akan tercapai sekiranya komuniti OKU terus tercicir, justeru inklusi perlu dilihat sebagai isu hak asasi, penyertaan ekonomi dan keadilan sosial.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pendidik serta ibu bapa agar bersama-sama memastikan aksesibiliti, pendidikan inklusif dan sokongan berterusan demi menjamin masa depan lebih cerah buat komuniti OKU di Selangor.

-RI

Tinggalkan komen anda