Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

SIBF 2025: Tarik Minat Keluarga, Pencinta Buku Seluruh Negara

By 2 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 kembali mencetus fenomena apabila ribuan pengunjung mula membanjiri Pusat Konvensyen Setia City sejak hari pertama pembukaannya, 28 November lepas.

Pengunjung tidak melepaskan peluang hadir ke SIBF 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bermula 28 November hingga 7 Disember ini.

Berlangsung selama 10 hari bermulasehingga 7 Disember ini, SIBF 2025 dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan pelbagai program interaktif seperti sesi bersama penulis terkenal, aktiviti kanak-kanak, bengkel kreatif, diskusi ilmiah dan promosi buku pada harga istimewa.

Pengunjung, Jasmi Sulaiman, 43, berkata pesta buku ini bukan sekadar tempat membeli buku malah ianya merupakan ruang santai bersama keluarga.

“Saya memang teruja bawa anak-anak ke sini, saya sanggup datang dari Melaka semata-mata untuk mencari buku anak-anak, memang menarik banyak pilihan buku dan diskaun istimewa yang ditawarkan,” katanya kepada Malaysia Aktif semasa ditemui di SIBF, di sini kelmarin.

Menurutnya, SIBF menjadi peluang untuk mengurangkan kebergantungan anak-anak kepada gajet.

“Saya memang nak biasakan mereka baca buku, saya beri peluang kepada mereka untuk pilih sendiri buku yang mereka minat,” katanya yang gembira melihat anak-anaknya membelek buku dengan penuh minat.

Bagi golongan remaja pula, SIBF menawarkan pengalaman yang berbeza daripada membeli buku secara dalam talian.

Nur Anisa bersama ibu dan adik-adiknya membeli buku di salah satu reruai sempena SIBF 2025 di Pusat Konvensyen Setia City.

Nur Anisa Maisarah Musa, 18, pelajar Kolej Matrikulasi Selangor dari Meru hadir bersama ibu dan adiknya berkata dirinya lebih gemar membeli buka secara fizikal kerana mahukan pengalaman memilih.

“Di sini semua booth (reruai) menarik, persembahan pun kreatif, saya dah beli novel fiksyen seram dan sebuah buku Mandarin,” katanya.

Pesta buku ini merupakan acara tahunan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang menyediakan 400 reruai menghimpunkan penerbit, penulis, pempamer dan penggiat industri buku dari dalam dan luar negara.

Pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah harian bernilai RM500, dengan 10 pemenang dipilih setiap hari.

Setiap pembelian bernilai RM30 melayakkan satu penyertaan, manakala pengumuman pemenang dibuat pada pukul 6.30 petang dan 8.30 malam.

SIBF 2025 bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu, tetapi juga platform untuk masyarakat mendapatkan bahan bacaan berkualiti dengan harga yang berpatutan.

-RI

Tinggalkan komen anda