
Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Juliana (Hulu Langat)
BANGI, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini memperluaskan penggunaan aplikasi eCOSS, sebuah platform digital bagi pembelian minyak masak paket satu kilogram (kg) melalui imbasan kod QR di peruncit berdaftar di Selangor.
Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi memastikan penyaluran subsidi lebih teratur, telus dan tepat kepada golongan sasaran.

Salah seorang pengguna berharap kerajaan dapat membuat hebahan menyeluruh.
Melalui aplikasi eCOSS, pengguna perlu melengkapkan pendaftaran awal e-KYC menggunakan MyKad sebelum membuat pembelian pertama.
Sistem berkenaan turut menetapkan bahawa hanya warganegara Malaysia layak membeli minyak masak bersubsidi dengan had maksimum tiga kg bagi setiap transaksi.
Tinjauan Malaysia Aktif di Pasaraya Econsave Jalan Reko, Kajang mendapati pasar raya tersebut telah mewajibkan penggunaan aplikasi eCOSS bagi semua pembelian minyak masak bersubsidi.
Seorang pengguna, Nawal Faizah Mohd Murad, 65, berkata aplikasi itu amat memudahkan urusan harian.
“Aplikasi eCOSS sangat mudah digunakan, kita hanya perlu muat turun dan daftar menggunakan MyKad, kemudian ketika membeli hanya perlu imbas sahaja. Saya harap kaedah ini membantu kerajaan mengawal bekalan minyak masak bersubsidi,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Seorang lagi pengguna, Sharil Ahmad, 63, mencadangkan agar kerajaan mempertingkatkan usaha penerangan dan pendidikan kepada masyarakat.
“Saya mencadangkan agar hebahan menyeluruh dilakukan untuk mendidik masyarakat. Selain itu, perlu juga difikirkan alternatif bagi warga emas yang mungkin kurang mahir menggunakan aplikasi.”
Dalam tinjauan di beberapa pasar raya lain, Malaysia Aktif turut mendapati bahawa warga asing kini tidak lagi dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi.
Penggunaan eCOSS secara menyeluruh dijangka meningkatkan ketelusan serta membantu pihak berkuasa memantau pergerakan minyak masak bersubsidi dengan lebih efektif.
-RI





