
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/KPJ Healthcare (Johor)
JOHOR BAHRU, 2 Dis (MalaysiaAktif) – KPJ Healthcare Berhad melancarkan Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru pertama di negeri itu di bawah rangka kerja KPJ Health System (KPJHS), sekali gus memacu usaha transformasi kumpulan berkenaan ke arah sistem kesihatan akademik yang bersepadu.
Pusat kecemerlangan yang beroperasi di Johor Specialist Hospital (JSH) itu bakal menjadi pusat penyelarasan klinikal melalui pelaksanaan protokol rawatan seragam, semakan kes multidisiplin serta penambahbaikan berasaskan data di seluruh rangkaian hospital KPJ.

Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru pertama di Johor Specialist Hospital (JSH) akan menjadi pusat penyelarasan perkhidmatan melalui protokol rawatan seragam, semakan kes multidisiplin dan penambahbaikan berasaskan data di seluruh rangkaian KPJ.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KPJ Healthcare University (KPJU) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan KPJHS Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata penubuhan pusat tersebut membawa mandat jelas untuk penyatuan sistem bagi meningkatkan hasil rawatan secara menyeluruh.
“KPJHS menyediakan hala tuju lebih tersusun untuk mencapai keputusan yang boleh diukur, seterusnya memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih selamat, akses lebih cepat serta pengalaman perkhidmatan yang konsisten,” katanya selepas merasmikan pusat kecemerlangan tersebut, di sini semalam.
Seiring pelancaran itu, KPJ Healthcare turut memeterai penglibatan khidmat rundingan bersama Mayo Clinic Global Consulting bagi memperkukuh keupayaan klinikal dan akademik kumpulan, merangkumi standard klinikal, pengalaman pesakit, pendidikan terstruktur dan penyelidikan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

KPJ Healthcare bekerjasama dengan Mayo Clinic Global Consulting untuk mengukuhkan standard klinikal, pengalaman pesakit, pendidikan dan penyelidikan bagi pembangunan Pusat Kecemerlangan.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pelancaran pusat kecemerlangan itu menandakan fasa baharu dalam pembinaan sistem kesihatan bersepadu yang menggabungkan amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan.
“Melalui KPJHS, kami dapat memperkukuh amalan klinikal berasaskan pendidikan berstruktur dan penyelidikan yang diterapkan dalam operasi harian untuk meningkatkan hasil rawatan di seluruh rangkaian,” katanya.
Antara fokus utama Pusat Kecemerlangan JSH ialah memperkukuh pendekatan klinikal melalui protokol rawatan seragam, pembangunan kapasiti klinikal dengan kerjasama KPJU, integrasi digital serta penambahbaikan berterusan dalam proses kerja klinikal.
Turut hadir Pengerusi KPJ Healthcare Tan Sri Datuk Sri Dr. Ismail Bakar dan Naib Presiden Global Commercial Solutions, Mayo Clinic International Royston Lek.
-RI





