
Laporan/foto: Khairul Othman/Sharil Alias (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 26 Dis (MalaysiaAktif) – Penganjuran Negeri Sembilan Festival (NS Fest) 2025 menjadi landasan awal bagi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang menyasarkan kehadiran 25 juta pelancong ke negeri ini, tahun hadapan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata edisi terdahulu NS Fest berjaya menarik lebih 1.1 juta pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM4.3 juta, sekali gus menjadi inspirasi kepada penganjuran festival yang lebih berimpak tinggi tahun ini.
“Program ini bukan sekadar acara tahunan tetapi platform strategik yang memperkukuh ekosistem ekonomi masa hadapan serta peluasan ekosistem pelancongan yang pintar dan mampan,” katanya pada Majlis Infaq Pembangunan Masjid Negeri Sembilan, di sini malam tadi.
NS Fest yang berlangsung selama 12 hari bermula 20 Dis hingga 31 Dis ini menampilkan kepelbagaian sektor ekonomi, keusahawanan dan budaya melalui pameran agensi kerajaan, jualan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pelbagai aktiviti menarik.
Pada program sama, Aminuddin turut merasmikan Majlis Infaq Pembangunan Masjid Negeri Sembilan hasil kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Agrobank.
-FN





