
Laporan/foto: Florence Sebastian (Saratok)
SARATOK, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026 dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan kecemasan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Saratok Lt. (PA) Nur Athirah Batu berkata, pihaknya kini mempunyai seramai 50 anggota aktif merangkumi pegawai dan anggota yang sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Nur Athirah meneliti persiapan operasi APM sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut di Saratok.
“Kami melaksanakan ceramah kesedaran dan latihan berkala berkaitan MTL kepada komuniti, selain melakukan pemeriksaan logistik dan aset secara konsisten serta memastikan bilik gerakan beroperasi 24 jam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Nur Athirah, pemantauan kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh dilakukan melalui laporan orang awam, pemantauan media sosial serta Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Aspek keselamatan anggota katanya turut diberi keutamaan melalui taklimat keselamatan dan pengamalan prosedur operasi 3S iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi.

Nur Athirah bersama anggota APM Saratok menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko banjir sekitar Saratok bagi memastikan keselamatan komuniti semasa MTL.
Beliau berkata pengalaman menghadapi MTL 2025 menjadi pengajaran penting dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota dan komuniti setempat.
“Pada Januari 2025, penduduk Rumah Panjang Ason Tembawai Kapok terpaksa dipindahkan apabila paras air sungai meningkat secara mendadak sehingga enam kaki. Operasi pemindahan berdepan cabaran arus deras serta kekangan logistik,” ujarnya.

Anggota APM Saratok membantu proses pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara susulan peningkatan paras air semasa Monsun Timur Laut.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap perubahan cuaca, mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat sahih daripada media serta agensi rasmi bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
-RJ-





