
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Nurain Abdullah (Sarawak)
LIMBANG, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Ibu bapa dan penjaga tanpa mengira latar belakang di daerah ini menyambut baik penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 yang mula diagihkan secara berperingkat di sekolah sekitar Limbang sejak 11 Jan lepas.

Lelah Awang menyifatkan BAP sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu ibu bapa membuat persediaan awal kelengkapan persekolahan anak-anak.
Bantuan berjumlah RM150 bagi setiap murid itu disifatkan mampu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan kelengkapan asas persekolahan anak-anak, khususnya menjelang sesi persekolahan baharu.
Seorang suri rumah, Lelah Awang, 51, dari Kampung Baru Kuala Berawan berkata, BAP mencerminkan langkah proaktif kerajaan dalam membantu ibu bapa menghadapi peningkatan kos barangan persekolahan.

Marianie Bagol bersyukur atas penyaluran BAP yang mula diagihkan secara berperingkat di sekolah sekitar daerah ini bagi meringankan beban ibu bapa.
“Kos pakaian sekolah semakin meningkat, jadi sebagai suri rumah saya sangat menghargai bantuan ini,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Sementara itu, peniaga kedai makanan dari Kampung Agong Tua, Marianie Bagol, 53, menyifatkan BAP sebagai pelaburan penting untuk masa depan pendidikan anak-anak.
“Bantuan ini akan digunakan untuk membeli pakaian, kasut dan buku supaya anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Juliani Bolhi menyambut baik pelaksanaan BAP yang memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi baharu.
Dalam pada itu, penjawat awam dari Kampung Sungai Boyan, Juliani Bolhi, 49, turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan MADANI atas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang disifatkan memberi kelegaan kepada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar, bantuan ini amat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
-RJ-





