
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri
GEORGE TOWN, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Kad Touch ’n Go edisi khas berlatarbelakangkan imej Masjid Pintal Tali dilancarkan secara rasmi dalam Majlis Kesyukuran Bacaan Yasin dan Doa Selamat di masjid bersejarah itu, di sini semalam.

Pengurusan Masjid Pintal Tali menerima cek cura daripada MAINPP untuk menyokong aktiviti masjid dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pelancaran kad edisi khas ini berperanan mempromosikan Masjid Pintal Tali sebagai antara masjid tertua di Pulau Pinang yang dibina pada 1820, selain membantu menjana dana bagi menyokong aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan masjid.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan dimulakan dengan bacaan Yasin serta doa selamat selepas solat Maghrib.
Menurut Mohamad, Masjid Pintal Tali dinamakan sempena kawasan pembuatan tali bagi kegunaan kapal pedagang suatu ketika dahulu dan merupakan penempatan awal komuniti Muslim di negeri ini.

Penyampaian Anugerah Rakan Strategik Masjid Pintal Tali sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam memartabatkan institusi masjid.
“Masjid ini merupakan masjid lama, masjid bersejarah yang akan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pengajian Fekah, Kelas Al-Quran dan sebagainya.
“Kad Touch ’n Go edisi khas ini dijual pada harga RM20 sekeping, dengan hasil jualan disalurkan bagi menampung kos pengurusan serta aktiviti masjid,” katanya.
Turut berlangsung penyerahan Anugerah Rakan Strategik Masjid Pintal Tali, penyampaian cek cura Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada pengurusan masjid serta penyerahan kit bantuan kepada 10 orang golongan asnaf.
-RI





