
Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat
KANGAR, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Keganasan rumah tangga tidak terhad kepada penderaan fizikal semata-mata, sebaliknya turut merangkumi penderaan emosi dan psikologi yang sering berlaku secara senyap dalam hubungan suami isteri.

Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Negeri Perlis menyatakan mangsa perlu tampil ke hadapan bagi melaporkan isu keganasan domestik.
Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Negeri Perlis Alia Suzila Chek Pi berkata pengabaian berterusan, layanan dingin, kawalan emosi, ugutan senyap, sindiran berpanjangan dan manipulasi perasaan boleh dikategorikan sebagai penderaan emosi sekiranya ia berlaku secara serius dan berulang kali sehingga menjejaskan kesejahteraan mangsa.
“Penolakan halus yang tidak disampaikan secara jujur dan berhemah berpotensi mewujudkan tekanan emosi, rasa tidak dihargai serta ketakutan dalam hubungan, sekali gus melemahkan kepercayaan dan kestabilan rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian ilmu secara dalam talian bertajuk ‘Penolakan Halus: Pemusnah Rumah Tangga’ yang disiarkan menerusi siaran langsung melalui Facebook Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Perlis pada Selasa.
Sesi perkongsian anjuran PPWN Perlis dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman Negeri Perlis itu bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dan kesejahteraan institusi keluarga.
Alia Suzila turut berkongsi mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta bentuk perlindungan undang-undang yang boleh diperoleh oleh mangsa keganasan rumah tangga.
Beliau berkata Akta 521 menyediakan mekanisme perlindungan kepada mangsa melalui perintah mahkamah seperti Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO).
Beliau turut menerangkan peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam membantu mangsa memahami hak-hak mereka di bawah undang-undang dengan menyediakan khidmat nasihat guaman serta bantuan guaman yang bersesuaian mengikut kes.
“Mangsa berhak mendapatkan perlindungan undang-undang walaupun keganasan yang dialami bersifat emosi, selagi ia dapat dibuktikan memberi kesan mudarat terhadap keselamatan dan kesejahteraan diri,” jelasnya.
Selain itu, Alia turut menekankan kepentingan pengumpulan bukti dalam kes keganasan emosi di mana pengumpulan mesej WhatsApp, sistem pesanan ringkas (SMS) atau emel yang mengandungi unsur ugutan, manipulasi atau penghinaan katanya boleh menyokong pembuktian.
Beliau juga menyarankan mangsa mencatatkan diari kejadian secara konsisten melibatkan tarikh, masa, apa yang berlaku serta kesan emosi yang dialami.
Menurutnya lagi, laporan daripada pakar psikiatri atau psikologi amat penting bagi menunjukkan kesan sebenar tekanan emosi terhadap mangsa dan ia membantu penilaian tahap kemudaratan dialami mangsa oleh mahkamah selain keterangan saksi termasuk ahli keluarga dan jiran yang juga akan mengukuhkan fakta kes.
Beliau turut menegaskan bahawa laporan polis tetap digalakkan walaupun tiada kecederaan fizikal berlaku.
“Ramai beranggapan laporan polis hanya perlu jika ada kecederaan fizikal, sedangkan penderaan emosi yang serius dan berulang juga diiktiraf di bawah undang-undang,” katanya.
-RI





