
Laporan/foto: Affifa Aroff/Ahmad Faisal (Perak Tengah)
LAMBOR KANAN, 11 Jan (MalaysiaAktif) – Penemuan makam pemerintah kawasan Lambor di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan di sini membuka lembaran penting dalam lipatan sejarah awal Kesultanan Perak.

Mohd Nazrin buku Cempaka Sari yang menceritakan tentang Tun Bangsawan Seri.
Pengkaji sejarah Mohd Nazrin Mohd Suhaimi, 35, berkata makam berkenaan dikenal pasti sebagai milik Tun Bangsawan Seri Toh Paduka Raja Bangsa Acheh yang merupakan tokoh penting sebelum dan selepas penubuhan Kesultanan Perak.
Menurutnya, selepas penabalan Sultan Perak pertama Sultan Muzaffar Shah I, anak Bendahara Seri Maharaja Tun Isap Berakah iaitu Tun Mahmud telah dilantik sebagai Bendahara Perak pertama dengan gelaran Seri Agar Diraja.
“Bagaimanapun, Sultan Johor Sultan Alauddin Riayat Shah kemudiannya memanggil Tun Mahmud pulang ke Johor dan gelaran Seri Agar Diraja tersebut telah dikurniakan kepada Tun Bangsawan Seri,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Tambah Mohd Nazrin, Tun Bangsawan Seri merupakan Maharaja Lambor yang memerintah kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan Perak dan dipercayai mempunyai pertalian dengan Tok Temong serta Kerajaan Beruas Manjung.
“Beliau juga diyakini sebagai bapa kepada Tun Malim atau lebih dikenali sebagai Tok Kadok yang masyhur dalam cerita penglipur lara.

Kompleks Makam Tun Bangsawan Seri (batu nisan besar) dan keluarga.
“Lebih menarik, gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja kini dipegang oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib yang juga merupakan keturunan beliau,” ujarnya.
Kewujudan kompleks makam ini turut direkodkan dalam cerita lisan, catatan waris keluarga Dato’ Sagor serta buku Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak.
Turut ditemukan bersebelahan makam tersebut adalah makam isterinya Tun Fatiha dan seorang anak beliau.
Sehubungan itu, Mohd Nazrin berharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian serius terhadap usaha pemuliharaan makam-makam lama di kawasan ini agar warisan sejarah negeri terus terpelihara buat generasi akan datang.
-RI





