
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
KUALA MUDA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Persiapan menyambut Pesta Ponggal, perayaan tradisional masyarakat India yang melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, giat dijalankan oleh penduduk di Jalan Sekerat, di sini bagi memastikan sambutan berlangsung lancar, meriah dan penuh makna, sekali gus memperkukuh keharmonian serta perpaduan komuniti setempat.

Parvathi sibuk membuat persiapan meraikan Pesta Ponggal
Menurut seorang penduduk, Parvathi Murniandy, 47, persiapan rapi amat penting bagi memastikan Pesta Ponggal dapat diraikan dalam suasana harmoni serta mencerminkan keunikan budaya masyarakat India.
“Saya telah memperuntukkan kira-kira RM2,000 bagi memastikan sambutan kali ini berlangsung dengan sempurna bersama keluarga,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, seorang peniaga tempatan, Arumugam Mutusamy, 52, berkata sambutan Pesta Ponggal pada tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan orang ramai sanggup berbelanja lebih demi memastikan perayaan diraikan secara penuh warna-warni.

Persiapan meraikan Pesta Ponggal diserikan dengan gubahan kalungan bunga
“Sambutan tahun ini agak meriah berbanding tahun lalu. Orang ramai tidak keberatan berbelanja besar untuk memeriahkan perayaan ini,” ujarnya yang telah berniaga di kawasan tersebut sejak lebih 30 tahun.
Majlis sambutan yang bermula seawal pagi itu menampilkan pelbagai aktiviti tradisional, antaranya upacara memasak Ponggal, nyanyian lagu-lagu tradisional Tamil, serta penyediaan dan pemakaian pakaian tradisi masyarakat India, yang menjadi simbol penghargaan terhadap warisan budaya turun-temurun.
Secara keseluruhan, sambutan Pesta Ponggal ini bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya masyarakat India, malah turut menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga serta memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
-AA-





