Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Pusat Data Hijau Bakal Buka Peluang Buka Pekerjaan Berkemahiran Tinggi untuk Anak Negeri

By 27 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 27 Jan (MalaysiAktif) – Pusat data hijau Nexus Yang Green Data Centre Campus bakal membuka ruang luas kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak tempatan dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, automasi dan keselamatan siber, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Aminuddin menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Pecah Tanah Nexus Yang Green Data Centre Campus.

“Selain itu, limpahan ekonomi yang terhasil dijangka merangsang pertumbuhan perusahaan tempatan, sektor logistik, latihan teknikal serta rantaian bekalan industri secara inklusif dan mampan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Nexus Yang Green Data Centre Campus di NS Semiconductor Valley, Sungai Gadut, di sini semalam.

Menurut Aminuddin, projek pusat data hijau tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri, NS Corporation dan rakan pelabur antarabangsa selari dengan dasar nasional seperti New Industrial Master Plan (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.

Negeri Sembilan katanya terus melangkah ke hadapan dalam agenda pembangunan ekonomi berteknologi tinggi apabila pembangunan strategik ini dilihat sebagai manifestasi keyakinan pelabur terhadap hala tuju negeri di bawah kerangka Malaysia Vision Valley 2.0.

Aminuddin menerima cenderamat daripada Ketua Pegawai Pelaburan Vena Group Simone Grasso.

“Pembangunan ini bukan sahaja memperkukuh infrastruktur digital negara, malah meletakkan Negeri Sembilan sebagai destinasi berdaya saing dalam ekonomi digital dan teknologi masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri komited memastikan setiap pelaburan dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar, kecekapan tenaga dan kesejahteraan masyarakat.

“Dengan kerjasama erat semua pihak, projek ini diyakini mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu serta memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab teknologi dan data serantau,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda