
Laporan/foto: Mazlin Basir (Pontian)
PONTIAN, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI terus memperkukuh infrastruktur di Johor apabila dua projek jambatan utama di Pontian diserahkan secara rasmi dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, semalam.
Majlis berkenaan melibatkan Penyerahan Projek Penggantian Jambatan FT005/053/50 Sungai Pontian Kechil serta Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Menaik Taraf dan Pelebaran Jambatan Pontian Besar (FT005).

Nanta Linggi ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Projek Siap di Daerah Pontian.
“Projek yang dilaksanakan secara konvensional dalaman oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ini mula dibina pada 31 Jan 2022 dan disiapkan sepenuhnya pada 25 Jan lepas. Projek penggantian jambatan ini melibatkan kerja pertambahan lorong iaitu dari dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala.
“Hal ini bagi memenuhi penyediaan infrastruktur jalan raya yang efisien khususnya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika merasmikan program di Tapak Projek Jambatan Pontian Besar, di sini semalam.
Projek menaik taraf dan pelebaran Jambatan Pontian Besar (FT005) dijangka siap pada Januari 2029 selepas pelaksanaan selama 36 bulan bermula 13 Januari lepas, dengan nilai kos RM38.04 juta.
Projek itu melibatkan pelebaran jambatan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala serta menaik taraf persimpangan bagi melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Para tetamu yang hadir.
Sementara itu, Projek Penggantian Jambatan FT005/053/50 Sungai Pontian Kechil yang dilaksanakan di bawah Program Penggantian Jambatan bagi struktur uzur, sempit dan had beban axle (Axle Load) di Johor di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-11 (RP4, RMKe-11) telah siap sepenuhnya pada Ahad lepas dengan kos RM23.13 juta.
Menurutnya lagi, penyiapan kedua-dua projek itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur yang selamat, cekap dan inklusif demi kesejahteraan rakyat.
“Penyiapan projek ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup pengguna jalan raya, malah merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat melalui jaringan perhubungan yang lebih lancar dan strategik,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato Sri Ir. Roslan Ismail.
-RI





