
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Norhafizah Abd Rahim (Terengganu)
MARANG, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam fasa dua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan ini terus mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan penjawat awam, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.
Langkah tersebut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penjawat awam yang rata-ratanya menyambut baik usaha berterusan kerajaan itu walaupun kadar kenaikan disifatkan sederhana namum membantu meringankan kos sara hidup.

Pegawai Perpaduan Daerah Marang (kiri) berterima kasih kepada kerajaan MADANI yang prihatin dengan kebajikan penjawat awam.
Pegawai Perpaduan Daerah Marang Hanafiah Mamat menyifatkan pelaksanaan fasa kedua itu sebagai satu inisiatif positif yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan harian.
“Walaupun kadar kenaikan tidak terlalu besar, ia tetap memberi kelegaan terutama kepada penjawat awam berpendapatan sederhana dan rendah.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana menjaga kebajikan penjawat awam. Kenaikan gaji ini membantu menampung keperluan harian seperti barangan dapur dan perbelanjaan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Mohd Samri Idris, 43, turut mengakui kenaikan gaji fasa kedua itu sedikit sebanyak menambah pendapatan bulanan, meskipun kesannya masih terhad berbanding peningkatan kos hidup semasa.

Mohd Samri menyambut baik pelaksanaan kenaikan gaji fasa kedua dan ini membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan penjawat awam.
“Alhamdulillah ada kenaikan, tetapi jika dibandingkan dengan kenaikan harga barang, kesannya tidak begitu besar. Namun, sekurang-kurangnya ada lebihan untuk simpanan atau kegunaan kecemasan dan berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian insentif tambahan seperti bantuan kos sara hidup atau potongan cukai bagi membantu penjawat awam menghadapi tekanan ekonomi ” katanya.
Sebahagian penjawat awam berpandangan kadar kenaikan seharusnya lebih seimbang mengikut gred dan tempoh perkhidmatan, terutama melibatkan kumpulan sokongan yang telah lama berkhidmat dan mempunyai komitmen kewangan yang semakin meningkat.
-RI





