Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

RMK-13: 38 Projek Pembangunan Bernilai RM4.389 Bilion Diluluskan untuk Kedah

By 16 Januari 2026Januari 18th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)

ALOR SETAR, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan persekutuan meluluskan sebanyak 38 projek pembangunan di Kedah dengan nilai keseluruhan RM4.389 bilion melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memperkukuh infrastruktur air, tebatan banjir dan pembetungan negeri tersebut.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, daripada jumlah tersebut, 31 projek merupakan projek sambungan, manakala tujuh projek baharu diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan peruntukan pelaksanaan berjumlah RM253 juta untuk Kedah.

Pecahan projek mengikut jabatan menunjukkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerima 21 projek dengan kos keseluruhan RM1.995 bilion, manakala peruntukan tahun 2026 berjumlah RM184 juta melalui geran langsung,” ujarnya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Jalan Lencong Timur, Alor Setar, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Bekalan Air (JBA) terlibat dalam 14 projek dengan kos keseluruhan RM2.078 bilion, melibatkan RM59 juta peruntukan tahun 2026 bagi 11 projek secara geran langsung serta RM5 juta untuk tiga projek melalui pinjaman.

Lawatan tapak ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Setar yang dibina dengan kos berjumlah RM238.8 juta

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan terus berusaha memperluas liputan sistem pembetungan berpusat, khususnya di kawasan bandar berpenduduk padat, menerusi pembinaan loji rawatan kumbahan berskala besar dan rangkaian paip pembetungan yang lebih sistematik.

“Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Setar yang dibina dengan kos RM238.8 juta kini menjadi loji terbesar di Kedah, dengan kapasiti merawat kumbahan sehingga 100,000 penduduk setara (PE) dan boleh dinaik taraf kepada 300,000 PE pada masa akan datang.

“Kaedah ini dapat mengurangkan keperluan membina loji-loji kecil di kawasan pembangunan baharu, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan pembetungan,” katanya.

Pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi ini dijangka meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengurangkan risiko banjir, menjamin bekalan air mampan serta menyokong agenda pembangunan lestari dan kesejahteraan komuniti di Kedah selaras dengan aspirasi RMK-13.

-AA-

Tinggalkan komen anda