
Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)/Facebook KPKT Malaysia
KOTA TINGGI, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Tapak pelupusan sisa pepejal yang telah ditutup dan dipulihkan berpotensi menjadi ruang rekreasi komuniti yang selamat dan inklusif.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia susulan pengiktirafan diterima Lestari Park di Bandar Tenggara oleh The Malaysia Book of records sebagai First Stroller-Friendly Recreational Park on a Rehabilitated Solid Waste Landfill (Taman Rekreasi Mesra Kereta Sorong Pertama di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal yang Dipulihkan).

Lawatan ke Lestari Park, Bandar Tenggara, satu inisiatif berimpak tinggi yang telah mencipta sejarah dalam The Malaysia Book of Records sebagai ‘First Stroller-Friendly Recreational Park on a Rehabilitated Solid Waste Landfill’.
Beliau berkata demikian selepas melawat taman tersebut yang merupakan sebuah projek berimpak tinggi oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini semalam.
Terdahulu, Aiman Athirah turut mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Batu Empat, Kota Tinggi bagi memantau serta memberi penerangan secara langsung kepada penduduk setempat berhubung kaedah pengoperasian tapak pelupusan sisa pepejal, selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pengurusan sisa yang mampan, selamat dan mesra alam.
“Isu tapak pelupusan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Batu Empat telah lama dibangkitkan oleh wakil rakyat dan penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib memaklumkan bahawa tapak pelupusan sampah itu akan ditutup sepenuhnya pada Disember 2027 dan selepas itu tiada lagi tapak pelupusan sampah akan beroperasi di Daerah Kota Tinggi.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan khabar baik kepada penduduk setempat selain mencadangkan penerapan teknologi insinerator dan pengurusan tanah persekitaran yang lebih moden, khususnya bagi negeri Johor yang berpenduduk padat serta mempunyai jumlah sisa buangan industri yang tinggi.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Dato’ Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus.
-RI





