
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta agar tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas sosial mereka, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
“Jemaah Menteri telah diberikan sedikit taklimat terkini mengenai beberapa tindakan yang telah diambil, tangkapan operasi penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan penggunaan pas sosial bagi mereka yang masuk ke Malaysia tapi bekerja.
“Walaupun kemasukan mereka itu adalah atas sebab sosial, sama ada untuk melawat, untuk pergi melancong, tapi akhirnya rupa-rupanya ada elemen-elemen pekerjaan yang telah dikesan,” katanya.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata demikian pada sidang media mingguannya, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan bahawa dari tahun 2025 sehingga pertengahan Januari tahun ini, jumlah yang telah diperiksa dan diambil tindakan ialah seramai 54,791 orang.
“Pada tahun 2025, jumlahnya adalah 51,100 manakala untuk 2026 bagi bulan pertama ini adalah seramai 3,691 orang,” katanya.
Sementara itu, Fahmi menegaskan bahawa Jemaah Menteri tidak masuk campur dalam isu penguatkuasaan termasuk terhadap pegawai kanan penjawat awam.
Beliau berkata beberapa kes yang dilaporkan media sebelum ini adalah di bawah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“…seperti yang telah diambil terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Jemaah Menteri tidak masuk campur dalam isu ini. Kita serah sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan.
“Tapi, peringatan yang telah diberikan itu juga telah disusuli oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian untuk pastikan aspek integriti diperkemas dan tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya.
-RI





