
Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Warga emas bukan sahaja pemegang nilai dan warisan komuniti, tetapi juga sumber inspirasi kepada generasi muda di Kampung Wang Besar.
Mereka aktif menyertai pelbagai program kemasyarakatan, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk memberi sumbangan kepada komuniti.
Semangat muafakat dan dedikasi mereka menjadi teladan nyata bagi anak muda tentang tanggungjawab sosial, kepimpinan, dan kerja sama.

Penduduk kampung aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Warga emas kampung ini terkenal dengan penyertaan mereka dalam pelbagai pertandingan anjuran jabatan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Wang Besar Ahmad Hussain berkata seluruh penduduk berusaha untuk memastikan kampung sentiasa memberikan kerjasama, harmoni dan menjadi contoh kepada generasi muda.
Kampung ini suatu masa dahulu katanya pernah memenangi Pertandingan Keceriaan 2016 dan pernah meraih gelaran Juara Jaguh Kampung 3, hasil usaha bersama penduduk.

Usia bukan penghalang untuk menyumbang kepada komuniti setempat.
Kejayaan ini membuktikan bahawa kerja sama, disiplin, dan komitmen setiap individu mampu membawa perubahan positif kepada komuniti.
“Usia bukan penghalang untuk berbakti. Anak muda boleh belajar daripada tindakan dan pengalaman kami,” kata Ketua Jiranita KRT, Mahsuri Mahmood ketika ditemui, di sini semalam.
Dengan penglibatan aktif ini, Kampung Wang Besar menjadi contoh komuniti punya warga emas untuk terus aktif dan kekal hidup harmoni dan bersatu, di mana warga emas mengekalkan nilai warisan sambil membina asas bagi generasi muda yang bertanggungjawab dan prihatin.
-RI





