
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BANDAR BARU ?SELAYANG, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 1,000 penduduk berkeperluan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menerima sumbangan barangan asas bagi meringankan beban menjelang sambutan Ramadan Al-Mubarak tidak lama lagi.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan telur itu merupakan inisiatif kolaborasi antara Pejabat DUN Taman Templer, Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) serta Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 10.

Kelihatan para penerima mendapatkan barangan Sumbangan Kasih Ramadan yang diadakan di Dataran Ilmu sempena Jualan Agro MADANI
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari, berkata program yang berlangsung di Dataran Ilmu itu turut menyaksikan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Selangor menerusi penganjuran Jualan Agro MADANI.
“Bukan sahaja mereka menerima bantuan barang asas, malah penduduk juga berpeluang membeli barangan segar seperti daging dan ayam pada harga yang sangat murah menerusi jualan FAMA yang berlangsung sejak Jumaat lalu,” katanya kepada media hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Yayasan PEKEMA Raja Petra Marudin Raja Nordin, berkata pihaknya memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program kebajikan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Tahun ini pihak pengurusan memaklumkan kita menyediakan RM1 juta untuk keseluruhan program Ramadan dan Hari Raya.
“Bagi persiapan raya pula, kami fokus kepada pemberian baju baharu, duit raya serta barangan keperluan untuk memasak juadah pagi raya bagi memastikan mereka dapat menyambutnya dengan penuh kegembiraan,” katanya.
Inisiatif tahunan itu bertujuan meringankan beban golongan asnaf, kumpulan B40 serta menghargai jasa bekas atlet negara, dengan sumbangan yang bukan sahaja tertumpu kepada barangan keperluan dapur, malah merangkumi persiapan lengkap untuk menyambut Hari Raya.
-AA-





