
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)
SEPANG, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Warga kerja di zon Airside Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh menunaikan Solat Jumaat dengan lebih mudah apabila kemudahan itu dilaksanakan secara rasmi di Musolla Airside KLIA, sekali gus mencatat sejarah sebagai lapangan terbang pertama di Malaysia menyediakan Solat Jumaat di kawasan larangan.

Sesi klik foto Aiman bersama kakitangan Malaysia Airports
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu yang turut menyaksikan pelaksanaan Solat Jumaat pertama sebagai simbol komitmen terhadap kebajikan petugas.
Menurut kenyataan, pembinaan musolla tersebut bermula pada awal September 2025 dan siap sepenuhnya pada akhir Januari 2026 dengan kos keseluruhan RM238,263 yang ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.
Dalam ucapannya, beliau berkata penyediaan kemudahan itu merupakan langkah strategik bagi memastikan kelancaran operasi di KLIA tanpa mengabaikan tuntutan agama pekerja.
“Penyediaan musolla ini membantu memastikan keseimbangan antara pelaksanaan tanggungjawab agama dan kelancaran operasi harian, khususnya bagi mereka yang terikat dengan keperluan operasi kritikal,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Solat Jumaat pertama yang diadakan di Musolla Airside KLIA berupaya menampung seramai 400 orang jemaah pada satu masa
Sebelum ini, petugas zon Airside terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk berulang-alik ke Musolla Rooftop KLIA bagi menunaikan solat berikutan jarak yang jauh serta prosedur keselamatan yang ketat.
Musolla baharu itu mampu menampung sehingga 400 jemaah pada satu-satu masa dan dijangka terus diimarahkan, khususnya menjelang Ramadan.
Kejayaan pelaksanaan kemudahan tersebut adalah hasil kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang (PAID).
Turut hadir Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani, Pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim serta barisan kepimpinan agama daerah Sepang.
-AA-





