Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

92 Warga Emas Sepang Terima Manfaat Inisiatif Penuaan Sihat Selangor

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 92 warga emas menerima akses kesihatan secara langsung menerusi kolaborasi strategik antara organisasi kemanusiaan, BeVital Humanitarian Relief Organisation dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang, di Dewan Komuniti Pantai Sepang Putra, di sini kelmarin.

Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Sungai Pelek, Dr. Lee Shir Ley berkata saringan berkala adalah kunci utama dalam mengesan risiko lebih awal.

“Pengurusan gaya hidup yang betul bukan sahaja dapat mencegah komplikasi kronik malah memastikan kualiti hidup warga emas kekal pada tahap optimum,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah pada Program Kesihatan Warga Emas Negeri Selangor itu.

Antara perkhidmatan utama yang disediakan pada program tersebut termasuklah ujian pemeriksaan pangkal rahim (pap smear), saringan kesihatan umum, serta pemberian vaksin influenza sebagai langkah perlindungan daripada penyakit berjangkit.

Inisiatif yang disokong penuh oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP), serta Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Sungai Pelek itu dirancang bagi memastikan golongan veteran tidak tercicir daripada mendapat pendidikan kesihatan yang tepat serta pemeriksaan saringan yang komprehensif.

Selain aspek klinikal, para peserta turut terlibat dalam aktiviti fizikal melalui sesi senaman warga emas yang dirancang khusus untuk meningkatkan mobiliti dan mengekalkan kecergasan pada usia emas.

-FN

Tinggalkan komen anda