
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)
SABAK BERNAM, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Inisiatif Jualan Rahmah MADANI (JRM) Rumpun Selangor melalui penglibatan strategik Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) memasarkan hasil pertanian penduduk kampung terus kepada pengguna.

Pengurus Besar Kohijrah Selangor Datuk Dr. Mohammad Syukri Ismail (dua dari kanan) bersama Datuk Armizan (kiri) semasa sesi lawatan Jualan Rahmah MADANI yang berlangsung di Kampung Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Selangor Datuk Rizam Ismail berkata kolaborasi tersebut juga bertujuan membantu petani menjana pendapatan.
“Kohijrah akan menjadi perantara yang mengambil hasil-hasil pertanian orang kampung untuk dijual di platform JRM Rumpun Selangor.
“Ini adalah usaha kita untuk memastikan ekonomi setempat terus berkembang,” katanya ketika berucap sempena program JRM di Dewan Astaka Pejabat Ahli Dewan Negeri Selangor, Sungai Air Tawar, di sini semalam.
Selain memfokuskan kepada kos sara hidup, Rizam yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata kerajaan negeri juga giat memperkasakan Skuad Pengguna dan Skuad Sehati sebagai ejen penerangan di 22 parlimen seluruh Selangor.
Beliau berkata skuad yang dianggotai oleh ketua kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) itu berperanan mendidik masyarakat mengenai hak pengguna serta memberikan taklimat kesedaran berkaitan ancaman penipuan siber atau scammer.

Antara penerima bantuan sumbangan bakul makanan
“Alhamdulillah, tahun lepas kita berjaya menggerakkan pendidikan pengguna ini di semua 22 parlimen agar rakyat tidak mudah terjebak dengan taktik penipuan yang semakin berleluasa,” katanya.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyampaian bantuan Bakul Rahmah kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan memerlukan di daerah Sabak Bernam.
-AA-





