
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Isu pencemaran debu, kebersihan dan pengurusan trafik susulan pembinaan projek pusat data di Nusa Bayu menjadi agenda utama dalam sesi dialog awam (town hall) bersama penduduk bagi memastikan impak pembangunan terkawal.

Pandak menegaskan bahawa pemaju perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan demi memastikan pembangunan berjalan teratur, selamat dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata sesi libat urus secara berkala itu merupakan platform penting bagi menyalurkan maklumat terkini serta memberi ruang kepada komuniti setempat mengemukakan aduan secara terus kepada pihak berkaitan.
Menurut beliau beberapa syarat ketat telah digariskan kepada pemaju dan kontraktor bagi mematuhi piawaian operasi yang ditetapkan sepanjang tempoh pembinaan.
“Langkah kawalan termasuk penyiraman air secara konsisten di laluan keluar masuk lori, pemasangan jaring keselamatan (safety netting), penyediaan penghadang serta pembersihan jalan secara berjadual bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk.
“Pihak pemaju juga diingatkan supaya mematuhi waktu operasi pembinaan bagi mengelakkan isu pencemaran bunyi di kawasan perumahan,” katanya selepas sesi dialog tersebut, di sini semalam.

Pembinaan Data Centre di Nusa Bayu memacu pembangunan, namun pencemaran udara dan bunyi perlu dikawal demi kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Terdahulu, dalam sesi tersebut, sebahagian penduduk meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan habuk tanah yang menjejaskan kualiti udara dan kebersihan persekitaran kediaman mereka.
Dalam pada itu, Pandak menegaskan walaupun projek pusat data tersebut merupakan pelaburan strategik yang mampu menjana peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi setempat, kesejahteraan penduduk tetap menjadi keutamaan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha merangkap Wakil Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Shahrulizam Abdul Rashid, Jurutera MBIP Ts. Mohd Zamri Buang, Penolong Pegawai Alam Sekitar Mohd Nazry Radzaly dan Ahli Majlis MBIP Mohd Akmal Melan.
-RI





