Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Anfaal Seru Kekal Keharmonian Menjelang Ramadan

By 15 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari menyeru masyarakat supaya terus memelihara semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum di negara ini.

Menurut Anfaal, sambutan Ramadan yang bakal tiba dalam tempoh kurang seminggu lagi merupakan momentum terbaik bagi umat Islam memperkukuhkan nilai spiritual dan ukhuwah sesama insan.

Salah seorang nazir masjid menerima sumbangan daripada William

“Al-Quran mengajar kita untuk saling mengenali antara satu sama lain meskipun berbeza bangsa dan budaya demi mewujudkan keharmonian yang berkekalan dalam masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ihya’ Sumbangan Ramadan peringkat DUN Taman Templer dan Parlimen Selayang yang diadakan di Perpustakaan Awam Daerah Gombak, Bandar Baru Selayang di sini semalam.

Tegasnya, rakyat perlu menolak sebarang bentuk provokasi melampau yang boleh memecah-belahkan kesatuan kaum demi kepentingan pihak tertentu yang ingin melihat negara huru-hara dan tidak stabil.

Anfaal yang juga EXCO Negeri Selangor turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang kerana tiada individu yang mengatasi perlembagaan dalam menjaga keamanan serta ketenteraman awam di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memuji peranan pengurusan masjid dan surau yang bertungkus-lumus menyediakan persiapan terbaik bagi menyantuni jemaah serta asnaf sepanjang bulan yang penuh keberkatan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan institusi agama sebagai tanda kasih sayang bagi meringankan beban mereka.

Turut hadir Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon 10, Ahmad Zahiri Zahid Sofian.

-AA-

Tinggalkan komen anda