
Laporan/foto: Sharman Subramaniam/Zaimah Zakaria (Klang)
KLANG, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) dengan kerjasama Petronas Gas Berhad (PGB) melaksanakan Latihan Kecemasan dan Pelan Evakuasi ERE EX-Kemuning serta Field Training Exercise (FTX) di Taman Perumahan Jalan Anggerik Malaxis, semalam.

Sesi latihan kecemasan (lakonan) mangsa menerima rawatan dari pihak ambulans
Latihan tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan sekiranya berlaku kecemasan seperti kebocoran atau letupan saluran paip gas Petronas, khususnya yang melibatkan jajaran paip berhampiran kawasan perumahan.
Selain itu, latihan berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara agensi terlibat dan komuniti setempat bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lebih terselaras dan berkesan.

Azniza menyampaikan ucapan selepas latihan kecemasan EX-Kemuning tamat
Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang, Azniza Azmi yang mewakili Pengerusi JPBD Klang, berkata latihan kali ini memfokuskan tiga komponen utama iaitu komunikasi melibatkan mangsa dan agensi, tempoh masa tindak balas kecemasan serta proses evakuasi mangsa.
“Melalui sesi latihan ini, kita dapat mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya melibatkan komunikasi melalui talian kecemasan 999 bagi memastikan respons lebih pantas supaya agensi keselamatan dapat tiba ke lokasi dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.
Secara keseluruhan, sebanyak 13 agensi terlibat dalam latihan tersebut antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Klang serta Pejabat Kesihatan Daerah Klang.
-AA-





