
Laporan/foto: Latifah Salleh (Tangkak)/Facebook Zahari Sarip
TANGKAK, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Projek Estet Kerang Negeri Johor terus memperkukuh pembangunan sosioekonomi nelayan Zon A Pantai Barat negeri ini serta membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor perikanan dan akuakultur.

Papan tanda Projek Estet Kerang Negeri Johor di myKP Parit Haji Othman, Tangkak yang menjadi lokasi pelaksanaan Program Tuaian Serentak 2026
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Zahari Sarip berkata projek berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan nelayan tradisi malah berpotensi menggerakkan ekonomi setempat.
“Program ini dapat memperkukuh rantaian industri perikanan serta menjadikan Johor sebagai hab utama pengeluaran kerang-kerangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tuaian Serentak Estet Kerang Negeri Johor 2026, di sini, semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar di bawah Rancangan Johor Lima Tahun (RJ5T) bagi menjayakan projek berkenaan.
Sehingga kini, sebanyak RM1.96 juta telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Johor, manakala bagi tahun 2026 sebanyak RM300,000 telah diluluskan di bawah RJ5T.
“Saya menyeru agar komuniti setempat mengambil peluang dan memanfaatkan sepenuhnya kewujudan Projek Estet Kerang Negeri Johor ini yang turut membuka ruang kepada agropelancongan serta industri pemprosesan hiliran,” katanya lagi.
-AA-





