
Laporan/foto: Stanley Clarence Eddie (Sri Aman)
SRI AMAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Baju Gagong yang dahulunya menjadi perisai pahlawan Iban dalam tradisi Ngayau kini beralih fungsi sebagai busana warisan yang melambangkan identiti serta kebanggaan masyarakat tersebut.
Pada masa lampau, busana ini diperbuat daripada bahan lasak seperti kulit beruang, kambing hutan dan kulit kayu keras bagi memberi perlindungan fizikal selain menimbulkan rasa gerun kepada musuh di medan tempur. Keunikan reka bentuknya bukan sahaja mencerminkan keberanian, malah mempamerkan kemahiran seni dan ketelitian pembuatannya.
Seiring peredaran masa, fungsi Baju Gagong berubah menjadi pakaian istiadat yang digayakan ketika sambutan Gawai, majlis rasmi dan persembahan kebudayaan sebagai simbol jati diri masyarakat Iban.
Penyelaras budaya, Sami Ngerapung, 51, berkata pemakaian busana tradisional itu bukan sekadar rutin, sebaliknya lambang penghormatan terhadap warisan nenek moyang.
“Baju Gagong membawa nilai sejarah yang besar. Generasi muda perlu memahami makna di sebaliknya supaya warisan ini terus dihargai dan tidak luput ditelan zaman,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Sami Ngerapung berusaha menarik minat generasi muda terhadap Baju Gagong agar warisan Iban terus hidup.
Menyedari cabaran arus pemodenan yang semakin mempengaruhi generasi muda, Persatuan Gagong Simanggang ditubuhkan sebagai wadah memperkasa serta mempromosikan Baju Gagong agar terus dihargai. Langkah itu dilihat penting memandangkan kos pembuatannya yang tinggi serta kesukaran mendapatkan bahan mentah menjadi antara faktor yang mengekang minat golongan muda terhadap busana warisan tersebut.
Minat generasi muda seperti Alvin Andrew, 11, dan Lazaro Ates Andrew, 13, memberi harapan baharu terhadap kelangsungan warisan berkenaan.
“Harapan kami adalah untuk melihat anak-anak muda berganding bahu mengekalkan budaya masyarakat Iban supaya warisan ini bukan sahaja tidak hilang, malah terus dicintai generasi akan datang,” kata Alvin.
Senada dengan abangnya, Lazaro menyifatkan pemakaian Baju Gagong sebagai tanggungjawab penting untuk memastikan identiti masyarakat Iban tidak tenggelam dalam arus kemodenan.
“Kami berharap rakan sebaya turut mengikuti jejak langkah yang sama demi mempertahankan identiti dan warisan kita. Jangan biarkan ia hilang ditelan zaman,” tegasnya.
Usaha kolektif antara persatuan dan individu dilihat menjadi kunci utama bagi memastikan Baju Gagong kekal relevan dan terus dicintai sebagai amanah kebudayaan yang tidak ternilai untuk generasi akan datang.
-RJ-





