Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Pertandingan Badminton Satukan Komuniti Bukit Gelugor

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: U. Prakash (Timur Laut)

GEORGE TOWN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Pertandingan Badminton MADANI Piala YB Ramkarpal Singh 2026 bukan sahaja menyemarakkan budaya hidup sihat, malah berjaya menjadi medium berkesan dalam mengukuhkan perpaduan dan hubungan muhibah dalam kalangan komuniti setempat.

Antara peserta yang menyertai Pertandingan Batminton MADANI Piala Ramkarpal Singh 2026.

Program oleh Persatuan Kebajikan Ghaghan Pulau Pinang dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Medan Angsana serta mendapat sokongan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gelugor, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Timur Laut Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk dari pelbagai latar belakang.

Majlis perasmian pertandingan itu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), T. Visvenathan, di sini kelmarin yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

T. Visvenathan (kanan) menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

T. Visvenathan berkata bahawa penganjuran aktiviti sukan seperti badminton berupaya menjadi platform penting dalam merapatkan jurang sosial serta mengeratkan hubungan antara penduduk tanpa mengira kaum dan agama.

“Program seperti ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi medium untuk mengukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti. Kita juga dapat memupuk gaya hidup sihat serta membina perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut berharap agar penganjuran pertandingan seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten sebagai usaha berterusan dalam memperkasa jaringan komuniti, sekali gus menyokong aspirasi MADANI yang menekankan kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan masyarakat.

-RI

Tinggalkan komen anda