
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
MUKAH, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan program sukan di sekolah menjadi medium berkesan membentuk murid yang cergas, sihat serta seimbang dari segi fizikal dan mental, sekali gus menyokong usaha pembudayaan gaya hidup aktif serta pembangunan modal insan berkualiti sejak usia muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata penglibatan murid dalam aktiviti sukan juga membentuk sahsiah, disiplin diri dan kemahiran sosial.

Royston (baju biru lengan pendek) menyampai hadiah kepada salah seorang pemenang dengan disaksikan oleh Guru Besar, Edwin Felix Arip (kiri).
Menurut Royston, pendedahan awal terhadap sukan di peringkat sekolah dapat memupuk minat murid mengamalkan gaya hidup aktif secara berterusan, selain mengurangkan risiko masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit tidak berjangkit.
“Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi medium pendidikan menyeluruh. Melalui sukan, murid mempelajari nilai kerjasama, kepimpinan, toleransi serta semangat kesukanan tinggi,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kali Ke-32 SK St. Patrick Mukah 2026 di Stadium Mukah, semalam.
Royston menambah usaha memperkasakan sukan sekolah perlu dijalankan secara berterusan dan sistematik agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua murid tanpa mengira latar belakang atau tahap kebolehan.

Royston Valentine bergambar bersama guru dan pemenang acara sukan selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Tahunan SK St. Patrick Mukah 2026.
Beliau turut menekankan peranan guru sebagai pemudah cara dalam membimbing serta menggalakkan penyertaan murid, selain memastikan aspek keselamatan dan kebajikan sentiasa diutamakan.
Menurutnya, sokongan ibu bapa dan komuniti setempat juga penting bagi memastikan pelaksanaan program sukan sekolah lebih berkesan dan berimpak tinggi.
“Ibu bapa perlu melihat sukan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran anak-anak. Sokongan moral dan galakan keluarga meningkatkan keyakinan serta motivasi murid untuk aktif bersukan,” katanya.
-RJ-





