Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pemerkasaan Kepimpinan KMKK Baharu Daerah Julau

By 4 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Rahimah/Chong Fei Foo (Sarawak)

JULAU, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 61 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Julau menerima sijil pelantikan rasmi dalam Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Julau, di sini semalam.

Pelantikan tersebut menandakan permulaan tanggungjawab baharu dalam memperkukuh pentadbiran, pengurusan serta pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.

Majlis disempurnakan ADUN Meluan Dato Rolland Duat Jubin yang menekankan kepentingan kepimpinan berintegriti serta pengukuhan perpaduan masyarakat, khususnya dalam komuniti rumah panjang.

Menurut beliau, pemimpin akar umbi perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan berperanan sebagai penghubung yang berkesan antara kerajaan dan masyarakat.

Rolland menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Julau yang berlangsung di Dewan Masyarakat Julau, semalam.

“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab. Peranan KMKK bukan sekadar memegang jawatan, malah menjadi benteng keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Julau Minggu Jampong berkata majlis berkenaan mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting pemimpin akar umbi dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di daerah ini.

“Pelantikan sebagai Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya tanggungjawab besar untuk menyelesaikan isu masyarakat setempat dengan segera di peringkat daerah dan kawasan masing-masing.

“KMKK umpama tiang utama kerajaan di peringkat rumah panjang, daerah dan komuniti,” ujarnya.

Salah seorang penerima sijil, Raweng Intri, 63, melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan.

Raweng (dua kanan) antara penerima sijil pelantikan sebagai Ketua Kaum pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK Daerah Julau yang berlangsung di Dewan Masyarakat Julau, semalam.

“Amanah ini bukan satu keistimewaan, tetapi tanggungjawab besar yang perlu digalas demi kepentingan bersama,” katanya sambil berharap semua pihak terus berganding bahu memajukan rumah panjang dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.

-RJ-

Tinggalkan komen anda