
Laporan/foto: Azza Aziz/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan, khususnya ketika negara dijadual menerima kehadiran tetamu negara dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
“Langkah tegas akan diambil bagi pastikan dan jamin keselamatan awam serta keselamatan tetamu negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Tambah beliau, keselamatan awam serta keselamatan tetamu negara merupakan keutamaan kerajaan dan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman serta keselamatan negara tidak akan dikompromi.
Tegasnya, kerajaan komited untuk memastikan keadaan negara kekal aman dan stabil, sekali gus menjamin keselamatan semua pihak termasuk rakyat dan tetamu negara.
Menurut laporan media, esok Malaysia bakal menerima lawatan rasmi oleh Perdana Menteri India Narendra Modi yang akan mengadakan perbincangan dua hala bersama Anwar.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India juga pada Rabu memaklumkan ini adalah lawatan kali ketiga Modi ke Malaysia.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata Anwar turut memutuskan supaya Kementerian Kewangan (MOF) membantu menyelaras dan membentuk satu badan bertindak khusus melibatkan beberapa kementerian lain bagi memfokus kepada isu penyalahgunaan pas sosial.
Selain MOF, beliau berkata kementerian terlibat adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“…untuk memberi fokus dan keutamaan penyelarasan aspek-aspek penguatkuasaan serta aspek-aspek perundangan yang melibatkan penyalahgunaan pas sosial untuk tujuan kerja…dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.
Selain itu, badan bertindak itu juga katanya akan meneliti aspek masalah lambakan barangan tertentu di pasaran negara susulan penemuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Tindakan menyeluruh akan diambil, serta apa-apa lain aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.
-AA-





