
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Polis Johor
JOHOR BAHRU, 3 Feb (MalaysiaAktif) — Misteri kehilangan sebuah keluarga terjawab dengan penemuan enam rangka manusia di dalam sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai, bulan lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata siasatan bermula pada 9 Januari lalu selepas seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri setelah menemukan rangka berkenaan dipercayai milik ahli keluarganya yang dipercayai telah hilang.
“Lelaki berkenaan menemukan rangka manusia berkenaan di dalam sebuah rumah yang mempunyai kesan terbakar di kawasan kebun kelapa sawit tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mengesahkan enam mangsa terlibat iaitu seorang wanita berusia 35 tahun, tiga anak perempuannya masing-masing berusia lima, sembilan dan 17 tahun, anak lelaki mangsa berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun dipercayai rakannya.
Katanya, ekoran penemuan itu polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun pada 21 Jan lepas.
“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihak polis telah menerima arahan untuk mendakwa dua daripada suspek lelaki tersebut,” katanya.
Beliau berkata pertuduhan ke atas kedua-dua suspek dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.
-FN





