
Laporan/foto: M. Sures Maniam (Kota Setar)
ALOR SETAR, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman menganjurkan Program Walkabout Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Kempen Derma Darah sempena Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Tapak Pasar Pagi Simpang Kuala, di sini kelmarin.

JPJ Negeri Kedah mengedarkan topi keledar baharu kepada orang ramai menerusi Inisiatif Pertukaran Topi Keledar bagi meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.
Program dimulakan dengan sesi walkabout jelajah mesra serta pelaksanaan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang memberi penekanan kepada kepentingan mematuhi peraturan jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan, sebanyak 200 topi keledar telah diedarkan kepada orang ramai menerusi Program Pertukaran Topi Keledar bagi memperkukuh aspek keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.
Penyampaian topi keledar telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah Stien Van Lutam bersama Datuk Bandar Dato’ Abdul Gafar Yahya.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Kempen Derma Darah yang berlangsung serentak turut menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan kerjasama Hospital Sultanah Bahiyah yang menyediakan Unit Derma Darah Bergerak bagi memudahkan proses pendermaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman Teh Swee Leong, berkata kempen berkenaan bertujuan membantu meningkatkan stok bekalan darah hospital yang kini berada pada tahap membimbangkan.

Teh dan Datuk Bandar mengiringi Pengarah JPJ Kedah menyantuni pengunjung Pasar Pagi Simpang Kuala dalam sesi ramah mesra bersama masyarakat setempat.
Katanya, menurut pihak hospital, bekalan darah dijangka semakin berkurangan menjelang musim perayaan dan bulan Ramadan sekiranya tiada pertambahan penderma.
“Orang ramai digalakkan tampil menderma darah bagi memastikan simpanan darah sentiasa mencukupi dan dapat digunakan ketika berlaku kecemasan,” katanya.
Teh turut menggesa orang ramai merancang pendermaan darah secara berkala demi kepentingan bersama.
-RI





