Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Jelajah Ramadan 2026 Perkukuh Perpaduan dan Kesejahteraan Masyarakat

By 16 Februari 2026Februari 17th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Ramadan 2026 anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) terus menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan menyemarakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Fahmi berkata inisiatif itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Ihsan, Kesejahteraan dan Kemampanan Sosial

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata program tahunan yang memasuki edisi ke-14 itu merupakan manifestasi komitmen berterusan RTM sebagai penyiar nasional untuk mendekati rakyat secara langsung menerusi aktiviti padang.

“Saya difahamkan program ini telah mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terpanjang di Malaysia menerusi pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara sejak 2012.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian, malah membuktikan bahawa RTM berperanan lebih daripada sekadar penyampai berita dan hiburan, sebaliknya bertindak sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Jelajah Ramadan 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, di sini hari ini.

Jelajah Ramadan kali ini melibatkan 34 stesen radio RTM bagi menyampaikan aspirasi rakyat, mesej kebaikan dan memperkukuh hubungan RTM dengan masyarakat

Mengulas lanjut, Fahmi berkata inisiatif tersebut adalah selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memberikan penekanan khusus kepada nilai ihsan, kesejahteraan dan kemampanan sosial dalam memacu negara.

Bertemakan Satu Suara, Satu Jiwa, Jelajah Ramadan 2026 berlangsung selama 20 hari bermula 16 Feb hingga 8 Mac ini, melibatkan 15 kenderaan dan kira-kira 40 kru di 30 lokasi seluruh negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.

-AA-

Tinggalkan komen anda