
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jualan Agro MADANI menawarkan pelbagai promosi barangan keperluan harian melalui Jualan Kombo MADANI pada harga RM10 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup.
Antara tarikan utama termasuklah jualan ayam pada harga promosi RM10 seekor, daging RM25 sekilogram, serta pelbagai sayur-sayuran pada harga serendah RM1 seikat.

Anfaal menyampaikan buah dan kurma kepada pengunjung
Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ini berlangsung selama tiga hari bermula dari 13 hingga 15 Februari di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.
FAMA dalam satu kenyataan memaklumkan program dirasmikan EXCO Selangor, Anfaal Saari dengan kehadiran Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli serta Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
“Inisiatif penjenamaan semula Jualan Terus Dari Ladang ini bertujuan memberi akses pasaran lebih luas kepada usahawan sambil meringankan beban rakyat,” jelas kenyataan berkenaan.

Antara barangan yang ditawarkan sepanjang Jualan Agro MADANI dari 13 hingga 15 Februari di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang
Sebanyak 43 lot penyertaan melibatkan 25 usahawan disediakan dengan sasaran kehadiran 10,000 pengunjung serta jangkaan potensi nilai jualan mencecah sehingga RM400,000.
Kenyataan itu juga menyatakan FAMA turut menjadualkan 572 penganjuran program serupa di seluruh negara bagi memastikan bekalan agro makanan mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
Inisiatif ini diharapkan terus menjadi platform berimpak tinggi dalam memperkukuh pemasaran hasil tani tempatan serta meningkatkan pendapatan petani serta usahawan agro makanan.
-AA-





