
Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
KUALA KUBU BHARU, 14 Feb (Malaysia Aktif) – Lebih 500 pengunjung termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat hadir memeriahkan Karnival Jualan Rahmah MADANI yang berlangsung di Astaka Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu (MPDRM KKB), di sini semalam.

Anggota PDRM serta penduduk setempat pelbagai kaum mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga berpatutan
Komandan Maktab PDRM KKB, ACP Mohd Sabri Abdullah, berkata penganjuran karnival tersebut merupakan komitmen pihaknya dalam membantu mengurangkan kos sara hidup warga pasukan serta penduduk sekitar melalui inisiatif kerajaan.
“Karnival ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, malah menjadi platform one-stop centre bagi pelbagai inisiatif kerajaan.
“Antara yang disediakan termasuklah pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, perkhidmatan kad pengenalan melalui Bas MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jualan usahawan PERKEP serta pameran daripada pihak PDRM sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut.
Beliau menambah, inisiatif ini juga berfungsi sebagai jambatan bagi memperkukuh hubungan silaturahim serta membina kepercayaan antara pihak polis dan komuniti dalam usaha bersama menangani jenayah di daerah berkenaan.

Pelbagai barangan keperluan dijual dengan harga yang berpatutan
Sementara itu, seorang pengunjung dari Kampung Orang Asli Batang Kali, Sera Fiona Sulai, 45, menzahirkan rasa teruja kerana berpeluang memasuki kawasan maktab tersebut yang biasanya mempunyai kawalan akses yang ketat.
“Bagi kami orang awam, bukan mudah untuk masuk ke sini tanpa urusan rasmi. Program ini sangat memudahkan kerana selain membeli-belah, saya juga dapat melakukan pemeriksaan kesihatan dan melihat pameran PDRM di satu lokasi yang sama,” katanya.
Nada yang sama turut dikongsi oleh Mastura Judin, 43, yang memanfaatkan kehadiran Bas MEKAR JPN bagi menyelesaikan urusan dokumen pengenalan diri suaminya dengan lebih pantas.
“Ini kali pertama saya melihat kemudahan bas yang lengkap untuk urusan kad pengenalan. Urusan suami saya selesai dengan mudah dan cepat berkat bantuan petugas yang profesional. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi di kawasan Hulu Selangor pada masa akan datang,” ujarnya.
Antara pengisian lain yang turut mendapat sambutan ialah pertandingan mewarna kanak-kanak dan gerai jualan yang dikendalikan oleh usahawan di bawah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).
-AA-





