
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Hazel (Shah Alam)
SHAH ALAM, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh sektor ekonomi penjagaan apabila Garis Panduan Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Anfaal Saari ditemui media selepas merasmikan Townhall Selangor Care Network anjuran Wanita Berdaya Selangor di IDCC Shah Alam
Perkembangan itu dimaklumkan oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari ketika merasmikan Townhall Selangor Care Network (SCN) anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) di IDCC Shah Alam, kelmarin.
Beliau berkata, penganjuran townhall itu bertujuan mendengar suara pemegang taruh ekonomi penjagaan selain menyampaikan inisiatif di bawah Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor.
“Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) menganjurkan Townhall Selangor Care Network (SCN), bagi mendengar suara pemegang-pemegang taruh ekonomi penjagaan serta menyampaikan inisiatif-inisiatif di bawah Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor.
“Inisiatif-inisiatif yang dirangka bagi tahun 2026 ini juga ialah jawapan bagi kerisauan yang dibangkitkan oleh para pemegang taruh khasnya penguasa pusat jagaan dalam siri townhall yang lalu,” katanya.

Arthur Ng menyambut baik langkah yang diambil kerajaan negeri disamping menyuarakan isu-isu berkaitan ekonomi penjagaan
Sesi townhall tersebut menghimpunkan lebih 100 pengusaha pusat jagaan, operator individu serta wakil persatuan berdaftar di bawah SCN bagi membincangkan cabaran industri termasuk aspek pelesenan, kos operasi dan pematuhan peraturan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Faridah Abdul Samad, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim, serta wakil daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
Sementara itu, pengusaha pusat jagaan warga emas Arthur Ng, menyambut baik langkah kerajaan negeri termasuk pemberian geran dan penyediaan garis panduan yang lebih jelas.
Beliau berkata, terdapat lebih 2,000 pusat jagaan warga emas di seluruh negara namun hanya kira-kira 400 memiliki lesen, sekali gus menunjukkan keperluan kepada penyelarasan dan sokongan dasar yang lebih menyeluruh.
“Semua inisatif kerajaan negeri ini sangat membantu kami sebagai pengusaha.
“Saya harap kerajaan pusat juga membantu dengan mengkaji semula cukai SST yang dikenakan kepada pengusaha kerana kami memberi tumpuan kepada kesihatan dan penjagaan warga emas,” katanya.
Penganjuran Townhall SCN dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan sektor ekonomi penjagaan sebagai komponen penting pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat.
-AA-





