Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Keluar Zon Selesa, Kilat Boy Contoh Kejayaan Atlet Tinju Luar Bandar

By 9 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS

SRI AMAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Atlet tinju khususnya dari kawasan luar bandar digesa berani keluar dari zon selesa dan berhijrah bagi meningkatkan tahap kompetitif sekiranya mahu mencipta nama di peringkat lebih tinggi.

Gesaan itu disuarakan pada Majlis Penutupan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini kelmarin dengan menjadikan jaguh tinju profesional negara, Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’ sebagai contoh terbaik kejayaan hasil keberanian mencari pendedahan di luar.

Anak jati Sri Aman itu sebelum ini diberi penghormatan membawa bendera rasmi SUKSAR untuk diserahkan kepada Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh sebelum disampaikan kepada Residen Bahagian Kuching selaku tuan rumah edisi seterusnya.

Upacara simbolik penyerahan bendera rasmi SUKSAR oleh Kilat Boy kepada Residen Sri Aman, Mahra Salleh, sebelum bendera itu diserahkan kepada wakil Bahagian Kuching sebagai tuan rumah edisi seterusnya.

Menurut Mahra, bakat semata-mata tidak mencukupi tanpa keberanian menimba pengalaman di luar zon selesa.

“Pendedahan di luar kawasan, termasuk latihan di negeri atau negara lain, amat penting bagi membiasakan atlet dengan corak permainan, tempo dan tekanan pertandingan yang berbeza.

“Atlet luar bandar mampu pergi jauh, tetapi mereka perlu berani berdepan cabaran lebih besar dan menerima proses penghijrahan sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, kem tinju Zon Barat yang menghimpunkan atlet dari Sarikei, Betong dan Sri Aman menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan selepas meraih satu pingat emas, lima perak dan enam gangsa.

Walaupun tidak mencapai sasaran tiga emas, prestasi tersebut tetap dianggap membanggakan susulan disiplin tinggi dan saingan sengit yang dipamerkan sepanjang kejohanan.

Malah, empat petinju Zon Barat turut dipilih ke peringkat pemilihan akhir bagi mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Mereka ialah Muhammad Irfan Mohamad Ishak (57 kilogram (kg)), Mohd Zulkarnain Iswandy (54kg), Felhzcha Emelda Ejin (48kg) dan Eurinia Jackie Joachim (57kg).

SUKMA XXII Selangor dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda