
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 30 pegawai masjid dari seluruh Bahagian Sri Aman menerima tauliah pelantikan bagi sesi 2026–2028.

Ustaz Alyhebullah sedang menyampaikan taklimat mengenai tugas dan tanggungjawab pegawai masjid kepada para peserta bagi memastikan pengurusan masjid yang lebih mantap.
Pegawai terlibat terdiri daripada Imam I, Imam II, Bilal dan Marbot (Siak) yang akan berkhidmat di masjid serta surau di bawah pentadbiran Majlis Islam Sarawak.
Pegawai Hal Ehwal Islam, Alyhebullah Roslan berkata pegawai masjid bukan sahaja melaksanakan tugas teknikal malah berperanan sebagai ejen penyatuan ummah di peringkat kariah.
“Pegawai yang dilantik memikul amanah besar untuk memastikan pengurusan masjid berjalan secara sistematik. Setiap pegawai perlu memahami bidang kuasa masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya ketika menyampaikan taklimat di Bilik Seminar Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Sri Aman, di sini semalam.

Abang Azman memberikan penjelasan terperinci mengenai panduan Solat Sunat Tarawih, Witir, dan Aidilfitri selaras dengan ketetapan Majlis Islam Sarawak.
Sementara itu, Imam Bahagian Sri Aman, Abang Azman Abang Mohamed dalam taklimat Panduan Solat Sunat Tarawih, Witir dan Aidilfitri menegaskan kepentingan merujuk garis panduan rasmi bagi mengelakkan perbezaan pelaksanaan di peringkat kariah.
“Keseragaman pelaksanaan ibadah penting supaya ia selari dengan fatwa dan ketetapan Majlis Islam Sarawak serta dapat menjaga keharmonian jemaah,” jelasnya.
Pentauliahan ini memberi mandat rasmi kepada pegawai masjid untuk melaksanakan tanggungjawab pentadbiran dan aktiviti keagamaan secara lebih teratur sepanjang tempoh tiga tahun akan datang.
-RJ-





