Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Isu Rumah Ibadat: Jangan Ambil Tindakan Sendiri – Amirudin

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Jay Jay Denis

SHAH ALAM, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri sehingga membelakangi undang-undang berhubung isu pencerobohan tanah bagi tujuan pembinaan rumah ibadat di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan sebarang tindakan pengosongan atau perobohan mestilah melalui proses mahkamah yang sah bagi mengelakkan insiden luar kawalan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama.

Mesyuarat MKN Negeri Selangor yang diadakan semalam susulan isu rumah ibadat di Rawang yang berlaku Rabu lalu

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah.

“Ini penting bagi memastikan keselamatan awam terjaga dan mengelakkan kejadian yang mampu mencetuskan kegusaran rakyat seperti yang berlaku di Rawang semalam (Rabu),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tegas beliau, bagi kes rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian, pemilik tanah wajib mematuhi Kanun Tanah Negara dengan melantik peguam bagi mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu.

Susulan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang dipengerusikan beliau, Amirudin mengumumkan pengaktifan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) di seluruh Selangor sebagai platform rundingan.

Menurutnya, pemilik tanah yang mendapati pencerobohan telah berlaku dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis agar siasatan di bawah jenayah pencerobohan dilakukan.

“Pemilik tanah perlu memaklumkan pencerobohan kepada Pejabat Daerah. JKD akan memanggil pemilik tanah, pihak rumah ibadat, PDRM, dan PBT untuk mencapai penyelesaian munasabah sebelum kes dibawa ke mahkamah,” katanya.

Bagi rumah ibadat di atas tanah milik kerajaan pula, Amirudin telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempertingkatkan prosedur sedia ada serta mengukuhkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) agar lebih jelas dan telus.

“Langkah drastik ini diambil bagi memastikan setiap isu ditangani secara profesional oleh pihak berkuasa, sekali gus menutup ruang kepada mana-mana pihak untuk mencetuskan rusuhan atau provokasi melampau,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda