
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Situasi penularan wabak Tuberkulosis (Tibi) dalam kalangan pelajar di Johor dilaporkan berada dalam keadaan terkawal dan tidak menunjukkan sebarang pertambahan kes baharu setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan saringan menyeluruh terhadap semua kontak rapat yang terlibat.
Beliau berkata tiga daripada tujuh pelajar yang dikesan positif di daerah Kota Tinggi sebelum ini disahkan pulih sepenuhnya.
“Baki pelajar yang lain kini sedang menjalani rawatan sama ada di hospital atau melalui kaedah kuarantin kendiri di rumah, termasuk seorang pelajar yang dilaporkan di Pontian.
“Setakat ini, tiada pertambahan jumlah pelajar yang terlibat dan semua kontak rapat telah pun selesai disaring oleh pihak KKM bagi mengekang penularan lanjut,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai langkah pencegahan, Aznan menjelaskan bahawa proses saringan besar-besaran telah dilaksanakan melibatkan hampir 800 individu di institusi pendidikan terbabit.
“Proses saringan ini meliputi murid-murid serta guru-guru di sekolah bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan sepenuhnya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat agar tidak mencetuskan kegusaran awam atau panik kerana keadaan masih di bawah pemantauan rapi pihak berkuasa, selain menekankan kepentingan mendapatkan maklumat daripada saluran yang sah bagi mengelakkan kekeliruan.
-RI





