
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak melancarkan tiga inisiatif bantuan pendidikan melibatkan peruntukan berjumlah RM4.75 juta bagi memperkasakan kebajikan mahasiswa Perak.
Menteri Besar Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif tersebut merangkumi Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan dan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa yang bertujuan meringankan beban kewangan pelajar.

Saarani ketika ditemu ramah oleh pengamal media, semalam.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta khusus untuk Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan.
“Bagi Bantuan Sara Diri, mahasiswa sepenuh masa bakal menerima bantuan mengikut peringkat pengajian iaitu RM500 bagi Diploma, RM700 (Ijazah Pertama), RM800 (Sarjana) dan RM1,000 bagi peringkat Doktor Falsafah (PhD),” katanya ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini semalam.
Tambah Saarani bagi Bantuan Kecemasan pula nilai bantuan sehingga RM5,000 disediakan bagi membantu mahasiswa yang menghadapi musibah tidak dijangka seperti kemalangan atau masalah kesihatan.
“Komitmen ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa meletakkan agenda pendidikan dan kebajikan anak muda sebagai keutamaan selaras dengan pelan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya.

Dari kiri Pengurus Besar Yayasan Perak Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak Dato’ Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) Aldrin Ng.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Dato’ Khairudin Abu Hanipah turut memaklumkan terdapat syarat yang ditetapkan bagi inisiatif tersebut.
“Inisiatif ini memberi manfaat kepada 5,000 pelajar dengan nilai RM150 setiap seorang. Syarat kelayakan adalah terbuka kepada pelajar sepenuh masa dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM7,500 sebulan,” katanya.
Permohonan bagi Bantuan Sara Diri dan Baucar Buku dibuka bermula 2 Mac hingga 30 April, manakala Bantuan Kecemasan pula dibuka dari 2 Mac hingga 31 Oktober 2026.
Mahasiswa yang berkelayakan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat penuh dan mekanisme permohonan menerusi portal rasmi di http://eheyns.com.my
-RI





