Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Pemerkasaan PPKK Kulim Tingkat Kesedaran Kesihatan Komuniti

By 8 Februari 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahrani Mohamad (Kulim)

KULIM, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Program Pemerkasaan dan Apresiasi oleh Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Daerah Kulim, di sini semalam berfungsi sebagai medium pengukuhan peranan ahli panel yang dilantik sebagai jambatan penghubung antara masyarakat setempat dengan Pejabat Kesihatan Daerah.

Taklimat Virus Nipah oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Padang Serai, Dr. Mayzatul Syimar Azizan

Pengerusi PPKK Kulim, Azmi Abdul berkata ahli panel berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kesihatan yang tepat, berterusan dan berkesan kepada orang awam.

“Ia sekali gus memantapkan penglibatan komuniti dalam aktiviti kesihatan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan semalam.

Program berkenaan juga katanya turut menekankan kepentingan saluran komunikasi dua hala antara komuniti dan Pejabat Kesihatan Daerah sebagai mekanisme utama dalam memperkukuh hubungan kerjasama serta memastikan maklumat kesihatan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, melalui program itu, ahli panel turut didedahkan dengan pelbagai pengisian dan aktiviti termasuk taklimat berkaitan Virus Nipah yang sesuai untuk dikongsikan bersama komuniti setempat sebagai langkah meningkatkan tahap kesedaran serta kesiapsiagaan masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda