
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
MUKAH, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Kaul Petanak yang suatu ketika dahulu dilaksanakan sebagai ritual tradisional bagi memohon kesejahteraan dan hasil laut, kini berkembang menjadi simbol identiti, warisan dan kesinambungan budaya masyarakat Melanau di Sarawak.
Perubahan makna dan fungsi ritual ini seiring dengan peredaran masa apabila Kaul Petanak tidak lagi dilihat semata-mata daripada sudut kepercayaan spiritual sebaliknya diangkat sebagai khazanah budaya yang mencerminkan jati diri serta sejarah kehidupan masyarakat pesisir yang bergantung kepada alam.
Upacara ini turut diserikan dengan penyediaan serahang iaitu persembahan makanan dan hasil alam yang disusun secara tradisional sebagai simbol kesyukuran, kebersamaan dan warisan budaya Melanau yang diwarisi secara turun-temurun.
Serahang disusun di kawasan tapak upacara Kaul Petanak berhampiran kuala sungai sebagai simbol kesyukuran dan hubungan erat masyarakat Melanau dengan alam sekitar.
Pemilihan lokasi ini berkait dengan kehidupan masyarakat Melanau yang rapat dengan sungai dan laut sebagai sumber rezeki dan laluan utama.

Serahang diarak menggunakan perahu dari hulu sungai hingga ke kuala sungai sebelum dipacakkan di tempatkan yang disediakan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pada asalnya Kaul Petanak merupakan upacara tradisi masyarakat Melanau bagi memohon keselamatan, kesejahteraan serta hasil laut yang melimpah, selain melambangkan hubungan erat antara manusia, alam dan kepercayaan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun.
“Kaul Petanak dilaksanakan sebagai upacara memohon kesejahteraan, hasil laut yang melimpah serta perlindungan daripada kuasa ghaib namun maknanya kini ditafsir semula agar selari dengan realiti dan keperluan masyarakat moden,” katanya ketika ditemui pada sambutan Kaul Petanak di Kampung Petanak, di Kuala Sungai Petanak, di sini semalam.
Menurut Royston, seiring perubahan zaman, Kaul Petanak kini berperanan sebagai medium pemuliharaan budaya apabila upacara ini sering dijadikan acara komuniti dan kebudayaan selain dipersembahkan dalam festival, dokumentasi serta program warisan bagi memastikan generasi muda terus mengenali akar budaya mereka.
Beliau berkata penekanan penganjuran Kaul Petanak pada masa kini turut memberi fokus kepada nilai sejarah, seni dan falsafah hidup masyarakat Melanau sekali gus memartabatkan tradisi tersebut sebagai warisan budaya yang bernilai dan relevan.
“Dalam era globalisasi yang serba pantas, Kaul Petanak berfungsi sebagai penanda identiti etnik dan lambang kebanggaan masyarakat Melanau yang perlu dipelihara,” ujarnya.

Royston Valentine meluangkan masa bersama penduduk Kampung Petanak semasa upacara Keman Kaul yang mencerminkan nilai kebersamaan serta kelestarian budaya masyarakat Melanau.
Selain itu, Royston berpandangan bahawa penganjuran Kaul Petanak juga berupaya menghubungkan masyarakat Melanau moden sama ada yang menetap di kampung mahupun di bandar, dengan asal-usul serta warisan nenek moyang mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa persediaan dan pelaksanaan Kaul Petanak melibatkan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat sekali gus menjadi platform interaksi sosial, pengukuhan hubungan kekeluargaan dan perpaduan komuniti setempat.
“Kaul Petanak bukan sahaja mengukuhkan identiti budaya malah membuka ruang kepada pembangunan pelancongan budaya, penyelidikan akademik serta pendidikan warisan yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat,” katanya.
-RJ-





