
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Polis Selangor
SHAH ALAM, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Polis Selangor mengesahkan proses pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswarman, Rawang Perdana, di sini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini pada malam Selasa hingga awal pagi Rabu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kerja-kerja pemindahan itu dilakukan sendiri oleh pihak pengurusan kuil berkenaan bermula 9.30 malam dan berakhir sepenuhnya pada jam 4.12 pagi.
“Seramai 10 individu yang terdiri daripada penganut dan wakil pengurusan kuil terlibat dalam tugasan memindahkan kesemua empat patung berhala tersebut.
“Sejurus urusan pemindahan selesai, pihak pemilik tanah telah memulakan kerja-kerja pembersihan di tapak kuil berkenaan pada awal pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa sepanjang proses tersebut berlangsung, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada di lokasi bagi memantau keadaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga.
Dalam pada itu, Shazeli turut memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar sentiasa menghormati saluran perundangan dan tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta agama.
“Sebarang pertikaian yang timbul mestilah diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik tanah yang sah. Pihak polis juga akan memantau ketat sebarang penularan maklumat di media sosial.
“Amaran keras diberikan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan berbaur 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” tegasnya.
-RI





