
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Noor Syuhada Mohd Yasin (Pokok Sena)
POKOK SENA, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Restoran Rafek Roti Canai milik Mohamad Rafek Abdullah, 47, terus menjadi pilihan penduduk setempat apabila telah beroperasi hampir 20 tahun di Pekan Pokok Sena, sekali gus membuktikan daya tahan perniagaan tempatan dalam industri makanan.
Restoran yang terkenal dengan keenakan roti canai rangup di luar dan lembut di dalam itu sehingga kini kekal menerima pelanggan tetap setiap hari, terutama pada waktu sarapan pagi.

Roti canai telur antara menjadi kegemaran ramai.
Menurut Mohamad Rafek, minat yang mendalam dalam bidang masakan serta sokongan keluarga menjadi faktor utama beliau bertahan dalam perniagaan tersebut.
“Alhamdulillah, sejak mula berniaga hampir 20 tahun lalu, sambutan pelanggan tidak pernah putus. Saya sentiasa pastikan kualiti makanan terjaga dan layanan kepada pelanggan diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui.
Beliau, berkata antara menu menjadi pilihan pelanggan ialah roti canai kosong, roti telur, roti bawang serta kuah kari dan dal yang dimasak sendiri setiap hari bagi mengekalkan rasa asli dan konsisten.
Tambahnya, cabaran kenaikan harga bahan mentah tidak mematahkan semangatnya untuk terus berniaga, sebaliknya beliau bijak mengurus kos agar harga makanan kekal berpatutan demi pelanggan.
Restoran Rafek Roti Canai bukan sahaja menjadi lokasi sarapan popular dalam kalangan penduduk setempat, malah turut dikunjungi pelanggan dari kawasan sekitar yang ingin menikmati hidangan tradisional yang menepati cita rasa tempatan.
Kejayaan Mohamad Rafek membuktikan bahawa usaha gigih, konsistensi dan komitmen tinggi mampu menjadikan perniagaan kecil terus relevan dan bertahan dalam tempoh yang panjang.
-RI





