
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
KUALA NERANG, 16 Februari (MalaysiaAktif) – Kedai Port Runners Roti Bakar Telur Meleleh milik Sarina Che Lah, 52, yang beroperasi di Medan Selera Stesen Bas Kuala Nerang terus menjadi tumpuan pengunjung terutama pada waktu pagi dengan menawarkan hidangan sarapan ringkas, mengenyangkan dan harga berpatutan.

Sarina Che Lah sedang menyediakan roti bakar untuk pelanggan.
Sarina, berkata beliau telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak lebih 10 tahun lalu bermula secara kecil-kecilan sebelum berkembang dan dikenali ramai seperti hari ini. Menurutnya, kejayaan kedai berkenaan adalah hasil ketekunan serta konsistensi dalam mengekalkan kualiti hidangan yang disediakan kepada pelanggan.
Menu utama yang menjadi pilihan pelanggan ialah Breakfast Set yang mengandungi sosej, kacang baked bean, telur scrambled, hashbrown serta roti bakar kaya. Keistimewaan hidangan di kedai ini terletak pada penggunaan Roti Benggali yang lebih tebal dan lembut, sekali gus memberikan rasa lebih memuaskan apabila digandingkan bersama telur yang meleleh.

Set sarapan bagi yang menjadi hidangan yang sering dipesan oleh pelanggan.
“Harga yang ditawarkan berpatutan dan sesuai untuk semua golongan,” kata Sarina sambil menambah pelanggan tetapnya terdiri daripada pelajar, pekerja pejabat serta pemandu yang singgah di stesen bas berkenaan.
Kedai tersebut juga menawarkan suasana santai di medan selera yang selesa, menjadikannya lokasi pilihan masyarakat setempat untuk menikmati sarapan pagi bersama keluarga dan rakan-rakan.
Konsistensi dalam penyediaan makanan berkualiti pada harga mampu milik dilihat sebagai faktor utama yang membantu Port Runners Roti Bakar Telur Meleleh terus mengekalkan populariti serta menjadi antara lokasi sarapan pagi kegemaran penduduk sekitar Kuala Nerang.
-RI






