
Laporan/foto: Herman Hamid
KUALA LUMPUR, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Projek Perumahan Rakyat Taman Wahyu bagi menyantuni pelajar Program Ilham Seni Diraja serta mengurniakan sumbangan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf di bawah inisiatif Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), kelmarin.

Raja Permaisuri Agong menyantuni penduduk di PPR Taman Wahyu
Program Ilham Seni Diraja merupakan inisiatif perintis yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi, bakat serta pembentukan sahsiah pelajar sekolah terpilih daripada golongan B40 di sekitar Kuala Lumpur.
PPR Taman Wahyu merupakan antara kawasan kediaman peserta program tersebut yang dilancarkan Raja Permaisuri Agong baru-baru ini bagi memupuk kesihatan mental lebih baik dalam kalangan pelajar B40 menerusi aktiviti seni.
Seramai 200 peserta terpilih menyertai program ini dan akan menerima pendedahan menyeluruh dalam bidang kebudayaan serta seni kreatif melalui pendekatan bimbingan (mentorship) bersama tenaga pengajar profesional daripada agensi kerajaan dan penggiat seni tanah air.

Raja Permaisuri Agong beramah mesra dengan Peserta Program Ilham Seni DiRaja dan para penerima Kurniaan Diraja di PPR Wahyu
Seorang peserta, Aleesya Umairah Muhd Jamil, 13, berkata beliau berasa bertuah kerana terpilih mengikuti program yang disifatkannya sebagai positif dan unik.
Menurutnya, para peserta menjalani latihan koir dan tarian tradisional masyarakat majmuk Malaysia setiap dua minggu sekali di Istana Negara sehingga penghujung tahun 2026.
Sementara itu, Rahmah Awang Mohamad, 60, turut menzahirkan kegembiraan atas keprihatinan Seri Paduka Baginda yang berkenan menyantuni penduduk setempat serta menyampaikan kurniaan sumbangan yang boleh dimanfaatkan menjelang Ramadan.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
-AA-





